Thursday, 8 February 2018

Warisan hulur bantuan mangsa kebakaran Kiamsam, Labuan

Dua rumah hangus di Kiamsam terima ihsan Warisan Labuan

Salim berbincang dengan Pengerusi Penduduk Kiamsam, Noraidah Asnain (bertudung)
LABUAN: 8/2/18 (Khamis) - Parti Warisan Sabah ikut prihatin di atas bencana yang menimpa dua keluarga di Kg Kiamsam di sini yang kehilangan semua keperluan harian berikutan kebakaran rumah mereka subuh Rabu, kira-kira 2.30 pagi.

Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman ketika mengunjungi mangsa menyampaikan kata-kata penghiburan dan sumbangan berbentuk wang tunai serta keperluan harian kepada ketua keluarga dua rumah yang terbakar, isteri Borhan Haroki dan Haji Lagayan Aleyo.

Ketua Wirawati Warisan Labuan temui mangsa kebakaran
Turut bersama Salim dalam kunjungan kepada mangsa kebakaran itu ialah Setiausaha Penyelaras, George Elias, Ketua Wirawati Warisan Labuan, Ketua Wira Warisan Labuan dan beberapa ketua pusat daerah mengundi beserta ahli jawatankuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Noraidah bte Asnain berkata pihaknya agak sedih memikirkan kejadian itu yang menurut penduduk bukan disebabkan kelalaian mereka tetapi kerana kelemahan komunikasi pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan syarikat pengendali bekalan tenaga di perkampungan itu dengan penduduk Kiamsam.

Salim dan rombongan Warisan Labuan bersama sebahagian jiran mangsa kebakaran
Noraidah memberitahu, kebakaran berlaku begitu cepat sehinggakan ketika anggota bomba dan penyelamat sampai kira-kira 20 minit kemudian untuk memadam kebakaran, api sudah merebak kuat dan hampir memusnah dua rumah yang terlibat.

"Angin bertiup kuat ketika itu, syukur juga bomba dapat menghalang api merebak ke rumah-rumah yang lain," kata Noraidah.

Salim memberi kata-kata perangsang kepada penduduk
Menurut Noraidah, jiran-jiran serta-merta memberikan pertolongan tapi ketika penduduk berhampiran menyedari kebakaran itu, api sudah memenuhi ruang dalam rumah dan satu-satunya barang yang dapat diselamatkan ialah sebuah peti sejuk salah sebuah rumah.

"Mangsa kebakaran 10 penghuni di dua buah rumah itu kini menumpang di kediaman jiran," kata Noraidah.

Salim dan rombongan menyampaikan sumbangan ihsan kepada mangsa kebakaran
Kebakaran di Kiamsam yang terletak di tepi laut itu dikatakan berpunca daripada penggunaan lampu minyak tanah setelah pihak SESB memotong bekalan tanpa pemberitahuan kepada penduduk.

"Mungkin SESB ada memberitahu syarikat pengendali bekalan tenaga tapi syarikat berkenaan tidak menyampaikan sebarang makluman pemotongan tenaga kepada penduduk," kata Noraidah.

Kebakaran berlaku pada subuh apabila bekalan tenaga elektrik dipotong pada malam yang sama.

Salim menyampaikan sumbangan wang dan keperluan harian
Menjawab satu soalan, Noraidah menjelaskan bekalan tenaga elektrik di perkampungan itu diperoleh dari SESB tapi pengurusan dan pengagihan tenaga ke rumah-rumah dikendalikan sebuah syarikat swasta.

"Penduduk membayar bil elektrik kepada syarikat pengendali tenaga dan kami mendapat khabar yang mengandaikan bahawa syarikat berkenaan belum melunaskan sejumlah bayaran kepada pihak SESB," kata Noraidah.

Suasana bekas kediaman Tentera Laut Diraja Malaysia yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara
Keluarga yang terlibat ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku meskipun mereka sedih kerana kehilangan tempat tinggal dan harta benda untuk keperluan hidup sehari-hari.

Salim ketika berpesan kepada penduduk Kiamsam
Penempatan Kiamsam yang menjadi pemindahan penduduk terlibat kebakaran rumah di Kg Baru dan Kg Muslim berdekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lama beberapa tahun lalu terdiri daripada beberapa kelompok perumahan.

Rumah-rumah penduduk dianggarkan sebanyak 800 buah yang dihuni penduduk lebih 2,000 orang. Penduduk terdiri daripada kalangan warga negara Malaysia yang bekerja di pelbagai sektor di sini dan mengundi di beberapa buah pusat pengundian dalam kawasan Parlimen Labuan.

Sebahagian penduduk dan kanak-kanak di Kg Kiamsam