KDMM Tambunan nyatakan sokongan penuh Peter terajui Safa
JUSTIN menyerahkan jersi kepada Lieand Agustin.
|
Oleh HENRY BATING
TAMBUNAN: KDMM Tambunan yang menjadi antara pasukan hebat di Keningau menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony untuk menerajui Persatuan Bolasepak Sabah (Safa).
Pengerusi KDMM Tambunan, Justin Alip yakin Peter yang telah menunjukkan komitmen mengangkat pasukan KDMM beraksi dalam Piala FAM dapat mengangkat skuad Sabah ke mercu kegemilangan arena bola sepak di negara ini.
“Kita akan memberikan sokongan padu di peringkat daerah untuk Peter menggalas tugas berat sebagai Presiden Safa di peringkat negeri dan kebangsaan,” kata Justin.
Justin yang juga Naib Presiden KDMM menyatakan demikian ketika pelancaran Liga Bolasepak KDMM 2018-2019 di Kompleks Sukan Keningau pada Sabtu.
Justin melahirkan keyakinan dengan adanya khalayak peminat tegar bolasepak di negeri ini, Peter mampu mengembalikan zaman kegemilangan bolasepak Sabah era Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan.
“Peter selaku presiden dan pengasas KDMM merupakan pilihan tepat memimpin Safa kerana mempunyai banyak kelebihan di samping sebagai pemain juga memiliki rangkaian hubungan pengurusan bolasepak di dalam dan luar negara,” kata Justin.
Sementera itu Pengurus Pasukan KDMM Tambunan Jaidy Jamileh berkata pasukannya bertekad memberi saingan sengit kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Bolasepak KDMM.
Pasukan KDMM Tambunan dikendalikan di bawah ketua jurulatih SM Markus Sakia dibantu Oktovius Majaya @ Otto.
“Meskipun baru sebulan dibentuk namun pasukan ini sudah mempunyai barisan pemain yang boleh dibanggakan untuk menghadapi saingan khususnya pasukan-pasukan yang sudah mapan dan terbilang handal,” kata Jaidy.
Pada majlis ringkas itu Justin turut menyerahkan sumbangan set jersy dan kasut bola kepada pasukan KDMM Tambunan yang diterima oleh ketua pasukannya Lieand Augstin.