Monday, 25 September 2017

Penduduk Labuan siap sokong calon Warisan

Salim sambut baik pengumuman Shafie letak calon Warisan di Labuan

SALIM (sebelah Shafie) beserta rombongan Warisan Labuan ketika menemui presiden di Kota Kinabalu.
LABUAN: 24/9/17 - Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah Labuan, Salim Abdul Rahman menyambut baik pengumuman Presiden Datuk Mohd Shafie Apdal untuk meletakkan calon parti itu bertanding bagi kerusi Parlimen Labuan pada PRU14.
“Kami menyambut baik pengumuman itu dengan berusaha menemui setiap pengundi Labuan untuk menyatakan tujuan Warisan menawarkan diri mewakili Parlimen Labuan, yakni mahu mengatasi kesengsaraan hidup penduduk yang kini terhimpit oleh kejatuhan industri minyak dan gas,” kata Salim.
Salim yang sebelum ini berkhidmat hampir 20 tahun dalam bahagian kerjuruteraan industri minyak dan gas yakin, Warisan mampu memperbanyak pelaburan perindustrian dan perkapalan di Labuan sebaik memperoleh mandat menerajui Kerajaan Negeri Sabah pada PRU14.
Salim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shafie ketika berucap dalam perjumpaan Bicara Warisan di Kuala Penyu 23 September yang turut tersiar dalam berita online www.borneotoday.net. 

SALIM (belakang kiri) ketika hadir program Shafie di Kuala Penyu.
Menurut Salim, 54, keyakinan itu adalah berdasarkan manifesto Warisan yang meletakkan penubuhan Petroleum Sabah, pembangunan pelabuhan antarabangsa Labuan dan Kudat serta penstrukturan Yayasan Sabah sebagai sebahagian agenda memperbanyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah dan Labuan.
Salim menegaskan, pihaknya selaku penyelaras berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin keahlian penduduk akar umbi di samping merayu setiap pengundi agar memberi peluang kepada Warisan mengubah nasib mereka yang terabai dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.
“Tugas kita semata-mata untuk memastikan Warisan dapat merealisasikan misinya memenangi Parlimen Labuan tanpa memikirkan siapa calon kerana pemilihan calon adalah bidang kuasa pucuk pimpinan parti,” kata Salim.
Salim memaklumkan, sokongan penduduk Labuan ke atas Warisan semakin hari semakin berkembang subur hasil usaha pucuk pimpinan parti melawat Labuan yang dimulakan Naib Presiden, Junz Wong, diikuti Ketua Penerangan Honorsius Datuk Alfred Bosuin dan terbaru Timbalan Presiden Darell Ignatius Leiking.
Selain kunjungan tersebut, rombongan Warisan Parlimen Tenom pernah menemui kalangan pengundi Tenom dan Pensiangan, manakala Crispin Datuk Kitingan menemui pengundi Tambunan di Labuan.
Salim menyatakan pada masa ini pihaknya sedang mempersiapkan kehadiran Shafie untuk menemui penduduk Labuan.







Thursday, 14 September 2017

Warisan tiada kaitan dengan Tun M

Poster Warisan disabotaj, kaitkan parti dengan Tun M

FITNAH suntingan pihak tidak bertanggungjawab

KOTA KINABALU: 14 Sept. 2017. Parti Warisan Sabah (Warisan) pada hari ini mendapati poster hebahan program ‘WHY WARISAN?? TAWARAN WARISAN KEPADA PENAMPANG’ yang diedar melalui media sosial disunting cyber trooper tidak bertanggungjawab dengan menggantikan pernyataan ‘TAWARAN WARISAN KEPADA PENAMPANG’ menjadi ‘TAWARAN TUN M KEPADA PENAMPANG’.

Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin menjelaskan sesungguhnya Parti Warisan tidak mempunyai kaitan dengan pemimpin Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan atas sebab itu tiada alasan bagi Parti Warisan untuk meletakkan pernyataan ‘TAWARAN TUN M KEPADA PENAMPANG’ dalam hebahan programnya.

“Suntingan tersebut adalah FITNAH terhadap perjuangan sebenar Parti Warisan Sabah.
“Kami menggesa ahli-ahli parti dan para penyokong Warisan agar terus fokus memperjuangkan perubahan politik Sabah seperti yang sering diamanatkan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Kami meminta orang ramai mengabaikan dakyah pihak tidak bertanggunjawab yang mengaitkan Warisan dengan pihak-pihak tidak berkaitan khususnya pemimpin perjuangan parti politik di luar Sabah,” kata Honorsius.

Asli (atas) palsu (bawah)
Honorsius berkata demikian sebagai mengulas poster media program Warisan di Kg Ramayah, Penampang 16 September ini yang disunting pihak tidak bertanggunjawab bagi memfitnah orang ramai dan mensabotaj sambutan orang ramai ke atas program berkenaan.

Honorsius menegaskan, Parti Warisan Sabah memandang serius kejadian menyunting poster media program parti itu dan akan menggunakan perundangan jenayah siber untuk mengheret pelaku tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan. End

Unit Media
Ketua Penerangan Warisan Sabah

Suntingan pihak tidak bertanggunjawab sabotaj sambutan hadirin ke program parti
Asli yang dikeluarkan dari ibu pejabat Warisan