Salim sambut baik pengumuman Shafie letak calon Warisan di Labuan
SALIM (sebelah Shafie) beserta rombongan Warisan Labuan ketika menemui presiden di Kota Kinabalu. |
LABUAN: 24/9/17 - Ketua
Penyelaras Parti Warisan Sabah Labuan, Salim Abdul Rahman menyambut baik
pengumuman Presiden Datuk Mohd Shafie Apdal untuk meletakkan calon parti itu
bertanding bagi kerusi Parlimen Labuan pada PRU14.
“Kami menyambut
baik pengumuman itu dengan berusaha menemui setiap pengundi Labuan untuk
menyatakan tujuan Warisan menawarkan diri mewakili Parlimen Labuan, yakni mahu
mengatasi kesengsaraan hidup penduduk yang kini terhimpit oleh kejatuhan
industri minyak dan gas,” kata Salim.
Salim yang sebelum
ini berkhidmat hampir 20 tahun dalam bahagian kerjuruteraan industri minyak dan
gas yakin, Warisan mampu memperbanyak pelaburan perindustrian dan perkapalan di
Labuan sebaik memperoleh mandat menerajui Kerajaan Negeri Sabah pada PRU14.
Salim berkata
demikian ketika mengulas kenyataan Shafie ketika berucap dalam perjumpaan
Bicara Warisan di Kuala Penyu 23 September yang turut tersiar dalam berita
online www.borneotoday.net.
SALIM (belakang kiri) ketika hadir program Shafie di Kuala Penyu. |
Menurut Salim,
54, keyakinan itu adalah berdasarkan manifesto Warisan yang meletakkan
penubuhan Petroleum Sabah, pembangunan pelabuhan antarabangsa Labuan dan Kudat
serta penstrukturan Yayasan Sabah sebagai sebahagian agenda memperbanyak
peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah dan Labuan.
Salim
menegaskan, pihaknya selaku penyelaras berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin keahlian
penduduk akar umbi di samping merayu setiap pengundi agar memberi peluang
kepada Warisan mengubah nasib mereka yang terabai dalam pentadbiran Wilayah
Persekutuan.
“Tugas kita
semata-mata untuk memastikan Warisan dapat merealisasikan misinya memenangi
Parlimen Labuan tanpa memikirkan siapa calon kerana pemilihan calon adalah bidang
kuasa pucuk pimpinan parti,” kata Salim.
Salim
memaklumkan, sokongan penduduk Labuan ke atas Warisan semakin hari semakin
berkembang subur hasil usaha pucuk pimpinan parti melawat Labuan yang dimulakan
Naib Presiden, Junz Wong, diikuti Ketua Penerangan Honorsius Datuk Alfred
Bosuin dan terbaru Timbalan Presiden Darell Ignatius Leiking.
Selain kunjungan
tersebut, rombongan Warisan Parlimen Tenom pernah menemui kalangan pengundi
Tenom dan Pensiangan, manakala Crispin Datuk Kitingan menemui pengundi Tambunan
di Labuan.
Salim menyatakan
pada masa ini pihaknya sedang mempersiapkan kehadiran Shafie untuk menemui
penduduk Labuan.
No comments:
Post a Comment