Tuesday, 11 September 2018

Saya tidak terlibat versi 'lontong' sabahkini2, kata Rudy

Rudy kesal sabahkini2.com gunakan gambarnya dalam ilustrasi isu 'lontong' Melalap tanpa pemberitahuan

Paparan gambar Rudy dalam ilustrasi dibuat tanpa pengetahuan

TENOM: Presiden Pertubuhan Mamagun Sabah, Rudy Sulaiman Mairi menafikan penglibatannya mengecam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dalam isu 'lontong' yang digembar-gemburkan portal sabahkini2.com.

Rudy menegaskan pihaknya tidak pernah berurusan dengan portal berkenaan untuk mengecam Peter, sebaliknya mengecam sabahkini2.com yang menyiarkan berita tidak benar tentang masyarakat Murut Melalap.

"Kecaman kami kepada sabahkini2.com dibuat melalui laporan polis di Tenom yang turut tersiar di akhbar Daily Ekspress dan portal FreeMalaysiaToday.com," kata Rudy.

Rudy menyatakan demikian bagi memperjelaskan kekeliruan kalangan ahli Mamagun di Tenom yang mendapat gambaran bahawa seoalah-olah beliau bersekongkol dengan sabahkini2.com dalam memperbesarkan isu 'lontong' yang tidak benar sama sekali dalam konteks Melalap.

"Dengan ini saya meminta semua pihak agar mengabaikan paparan gambar saya dalam versi 10 September portal berkenaan dan menegaskan saya tidak mempunyai kaitan dengan siaran itu yang jelas dibuat tanpa pengetahuan saya," kata Rudy.

Gambar Rudy yang dipaparkan oleh sabahkini2.com tanpa pengetahuannya.






Saturday, 8 September 2018

Warisan kecam portal sabahkini2.com, fitnah Peter aib masyarakat Murut


Cerita 'lontong' tidak pernah wujud di Melalap seperti yang disiarkan sabahkini2.com



Oleh HENRY BATING
TENOM (8 Sept 2018): Parti Warisan Sabah di sini mengecam siaran portal anti-kerajaan sabahkini2.com yang menyiarkan berita berunsur fitnah dan mengaibkan suku kaum Murut Melalap dengan menyatakan ‘Sihir ‘lontong’ alasan Menteri Warisan takut bertemu rakyat Melalap’.

MARIUS (tengah) dan Jeffrey bersama Warisan Tenom selepas membuat laporan polis.

Laporan dibuat di Balai Polis Tenom hari ini oleh Marius Umbul dari Melalap diiringi Pegawai Media Warisan Tenom, Jeffrey Ahmad dan para pemimpin bahagian serta akar umbi parti itu di sini.

“Apa yang dilaporkan oleh Sabahkini2.com adalah berniat jahat untuk menjatuhkan imej Adun Melalap serta mempunyai agenda untuk kepentingan politik”.

“Mengaitkan sihir ‘lontong’ juga adalah cubaan untuk memberikan persepsi yang penduduk Melalap masih mengamalkan ilmu sihir dan ia adalah cubaan memalukan penduduk Melalap yang umum ketahui kini sudah mengamalkan kehidupan beragama,” kata Jeffrey.

Menteri yang dimaksudkan portal tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah.

Dalam laporannya, Marius menafikan wujud amalan ‘lontong’ (guna-guna yang boleh menyebabkan perut busung) di Melalap dan meminta portal sabahkini2.com menarik balik siaran itu kerana jelas memfitnah Peter dan mengaibkan masyarakat Murut yang menjadi penduduk dominan di sini.

Marius juga meminta portal itu serta pihak-pihak terlibat agar memohon maaf secara terbuka kepada Peter dan masyarakat Murut keseluruhannya.

Sementera itu Jeffrey menafikan Peter tidak pernah bersama rakyat seperti yang didakwa portal itu kerana walau sibuk dengan tugas kementerian, Peter tetap meluangkan masa sekali seminggu melawat pelbagai kemudahan mendesak di sini serta menghadiri pelbagai program termasuk perayaan keagamaan.

Manakala dalam kesusahan keluarga seperti ditimpa bencana dan kematian serta majlis perkahwinan, Peter selalu memastikan ada pemimpin kanan bahagian datang mewakilinya.

Peter juga telah menyalurkan peruntukan untuk Yayasan Masyarakat Cina Tenom dan Yayasan KDM Malaysia untuk membantu anak-anak keluarga di sini yang memerlukan bantuan persekolahan serta melanjutkan pengajian tanpa mengira agama dan keturunan.

Terbaru Peter bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengarah Jabatan Air Sabah (JAS) mengadakan tinjauan terhadap pelbagai kemudahan awam yang memerlukan perhatian serius di kawasan DUN Melalap.

PETER (ketiga kiri) dalam satu tinjauan kemudahan awam di kawasan DUN Melalap.

Siaran portal itu memetik James, 46, sebagai sumber yang menyatakan mereka selaku pengundi Melalap seperti dianak tiri selepas menang dengan taburan pelbagai janji dan ditipu hidup-hidup.

“Bukan saja janji tidak ditunai malah kalau ada majlis kahwin, sakit atau kematian, Peter tidak berkunjung sebaliknya hanya menghantar wakil,” kata James dipetik sebagai berkata.

Manakala Rosli, 30, dipetik portal itu sebagai berkata, kononnya Peter ini takut ziarah penduduk sebab dimaklumkan di kawasan Melalap terkenal dengan ilmu sihir ‘lontong’.

“Mahu dicari orang yang dipetik portal itu sebab dakwaannya betul-betul menjatuhkan maruah kaum Murut khasnya kawasan Melalap,” kata Stella Wilfred dari sayap Wanita Warisan Melalap.

Asmah Abdullah dari Kg Uloi menegaskan Peter telah menunjukkan komitmen sebagai pemimpin kawasan Melalap yang sentiasa bertungkus-lumus dibantu para pemimpin kanannya.

Screenshot paparan sabahkini2.com yang menghina masyarakat Murut Melalap