Wednesday, 3 April 2019

Rozman satukan kekuatan Warisan Labuan


Warisan Labuan sah menjadi bahagian parti politik beribu pejabat di Kota Kinabalu


ROZMAN, Liawas, Halim dan sebahagian urus setia mesyuarat agung.

Oleh HENRY BATING
LABUAN: Parti Warisan Sabah yang mula bertapak di Labuan selepas Jun 2017 kini memandang jauh menyatukan kekuatan ahli untuk mengangkat semula kemakmuran pulau dalam Wilayah Persekutuan itu di bawah Ketua Bahagian Datuk Rozman Datuk Haji Isli.

Rozman yang juga Ahli Parlimen Labuan mengumumkan semua calon bertanding tapi tidak terpilih dalam pemilihan 31 Mac lalu akan dilantik menganggotai bahagian untuk menempati pelbagai jawatan lantikan.

“Kita perlu menyatukan kekuatan ahli-ahli Warisan sedia ada demi melaksanakan pelbagai tekad membangunkan ekonomi Labuan termasuk yang telah dizahirkan dalam kempen pilihan raya lalu,” katanya selepas pemilihan pembentukan Bahagian Warisan Labuan pada Ahad.

HALIM (tengah) bersama penggerak Wanita dan Wirawati Warisan Labuan.

Pengumuman pengesahan pembentukan Bahagian Warisan Labuan dinyatakan oleh Dr Liawas Barukang, utusan khas ibu pejabat mewakili Setiausaha Kerja Arifin Asgali.

Rozman yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata penduduk Labuan perlu mengejar ketertinggalan pembangunan seiring dengan apa yang sepatutnya dinikmati pulau itu sejak diletakkan di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan 1984 dahulu.

“Dalam konteks politik masa kini di mana Labuan diwakili Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah, di samping bergerak membangun di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan, Labuan juga harus mendekatkan diri dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Rozman yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Bahagian mengumumkan mantan ketua penyelaras Warisan Labuan Salim Abdul Rahman, calon timbalan ketua bahagian Rosli Awang Damit, calon naib ketua Harold Lim dan calon ahli jawatankuasa Robin Atoh akan dilantik menganggotai bahagian parti.

HALIM (kanan) diumum menang timbalan ketua bahagian Warisan Labuan.

Seramai 73 perwakilan mewakili 16 dari 17 cawangan mengundi dalam pemilihan tersebut di mana mantan calon Warisan PRU14 Noor Halim Datuk Haji Zaini menang timbalan ketua dengan kelebihan dua undi, Kula Kamis menang naib ketua dengan kelebihan satu undi manakala 10 daripada 11 calon terpilih menjadi ahli jawatankuasa dengan perolehan 39 – 65 undi.

Sepuluh ahli jawatankuasa terpilih terdiri daripada Henry Bating, Benjamin Lim, Johari Kumbong, Lajim Ansagit, Tan Soo Kiat, Dua @ Ghani Kula, Sapri Angki, Zaidi Bata, Roslee Bakar dan Rosli Tamah.

Sementara itu, pimilihan untuk Wanita, Wirawati dan Wira akan diadakan berasingan sebelum atau pada 7 April ini.

LIAWAS (dua kanan) membantu perwakilan buat semakan keahlian.

Rozman pada PRU14 memenangi kerusi Parlimen Labuan atas tiket Umno-Barisan Nasional (BN) tapi kemudian menyertai Warisan ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung dan kemenangan Warisan-PH di Sabah.

Rozman secara berseorangan menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking Oktober lalu tanpa diiringi bekas ahli-ahli parti lama demi menghormati peranan kalangan penggerak asal Warisan di sini. 

SALIM dan Halim (kanan) satukan kekuatan Warisan Labuan.
Utusan Borneo 3/4/19






Monday, 28 January 2019

Penduduk atas air Mampakad Laut rayu pemulihan jejambat titian

Oleh HENRY BATING
28/1/19 (Isnin)

PITAS: Penduduk Kg Mampakad Laut, 11km dari sini meminta Jawatankuasa Bencana Alam Negeri agar meluluskan peruntukan kilat membaiki jejambat titian rumah ke rumah di perkampungan atas air
ZININ
itu yang runtuh pada Jumaat.

Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah Pitas Mohd Zinin Andong Ajak berkata pihaknya dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Bolkiah Hj Ismail telah mengunjungi para mangsa pada Sabtu untuk meninjau keadaan.

“Ketika ini keluarga para mangsa berada di pusat pemindahan mangsa bencana di Dewan Mampakad,” kata Zinin.

Roslan Tahir dari kampung berkenaan berkata runtuhan itu menjejaskan penghuni 13 buah rumah dan mereka amat mengharapkan penyelesaian segera bagi pemulihan kemudahan jejambat titian dari rumah ke rumah.

Menurutnya, Bolkiah menemui penduduk untuk menyampaikan barangan keperluan harian yang disalurkan Jabatan Kebajikan Am namun pembaikan jejambat titian masih belum dapat dipastikan bila dapat dipulihkan.

TITIAN perkampungan atas air Mampakad Laut runtuh.
Jejambat titian itu berukuran 200 kaki panjang dengan lebar enam kaki.

Roslan memaklumkan, mereka diberitahu bahawa gotong-royong di kalangan penduduk perlu diadakan sebagai alternatif sementara membaiki jambatan rumah ke rumah atas air itu sebelum penyelesaian kekal dapat dilaksanakan.

Manakala Zinin memaklumkan situasi bahagian utara Sabah yang dilanda banjir pada masa ini menyukarkan usaha pelbagai pihak menemui para mangsa di pelbagai pusat pemindahan untuk meninjau keadaan penduduk yang terjejas.

TITIAN penghubung rumah ke rumah putus.


Mampakad1/3


Mampakad2

Monday, 21 January 2019

Zinin temui mangsa kebakaran Kg Rinasuk, Pitas


Sebuah rumah di Kg Rinasuk hangus dalam kebakaran pagi Ahad


RUMAH terbakar tidak dapat diselamatkan.


Oleh HENRY BATING
21 Jan 2019

PITAS: Sebuah rumah di Kg Rinasuk Bai, kira-kira 10km dari sini hangus dalam kebakaran jam 9.20 pagi Ahad ketika keluarga pemilik rumah PPRT berstruktur kayu beratap zink itu sedang menghadiri ibadat gereja.

Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah Pitas Mohd. Zinin Andong Ajak berkata pihaknya menerima makluman tentang kebakaran itu ketika kejadian berlaku lalu melawat keluarga mangsa untuk menghulurkan simpati.

“Laporan polis tentang tragedi itu telah dibuat oleh keluarga yang terlibat,” kata Zinin.

Dalam laporannya, pemilik rumah Japanus Makampun menyatakan tidak dapat dipastikan punca kebakaran rumah berukuran 30x40 kaki itu namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.


SUASANA rumah Japanus selepas kebakaran.

Kerugian diperkirakan sebanyak RM72,000 yang melibatkan kemusnahan pelbagai barangan keperluan harian dan semua dokumen pengenalan diri beserta sijil-sijil.

Menurut Zinin pihaknya diberitahu kebakaran berlaku dengan pantas sehingga panggilan kecemasan kepada pihak Bomba di Kota Marudu tidak sempat dilakukan untuk mendapatkan bantuan memadam api.

Difahamkan bangunan Bomba dan Penyelamat Pitas sedang dibangunkan di mana selama ini Pitas terletak di bawah kawasan perkhidmatan balai Bomba Kota Marudu.

Dalam kunjungan kepada keluarga terlibat, Zinin menyampaikan bantuan berbentuk keperluan harian untuk meringankan bebanan keluarga berkenaan.

ZININ menyampaikan sumbangan kepada mangsa.