Tuesday, 12 December 2017

Warisan beri kuasa politik, ekonomi kepada Labuan

Warisan letak manifesto kembalikan kuasa politik dan peluang ekonomi kepada penduduk Labuan

Salim (kedua kiri) ketika menemui peniaga ikan di Sg Keling Labuan

LABUAN: Penduduk Labuan boleh menikmati semula kemakmuran pelaburan perindustrian, perkapalan dan perniagaan dengan memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun depan.

Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman berkata, di bawah dasar Warisan, kuasa rakyat Labuan dikembalikan untuk menentukan masa hadapan mereka dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi dan kebajikan.

"Kemenangan Warisan di Sabah akan melimpahi Labuan dengan kuasa politik dan ekonomi untuk mengembalikan kemakmuran hidup seperti yang dinikmati sebelum ini," kata Salim selepas sesi bertemu ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Lubok Temiang.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin, Pegawai Khas Timbalan Presiden Warisan, Tailin Mainan, Exco Wira Warisan, Safari Mohd. Adnan dan rombongan Warisan Kimanis.

Perjumpaan Ketua2 PDM Warisan Labuan di Kg Lubok Temiang
Salim menjelaskan, Timbalan Presiden Warisan, YB Darell Leiking telah memaklumkan sebelum ini bahawa pemimpin dari Labuan akan dilibatkan dalam kuasa perundangan Negeri Sabah.

Manakala Kerajaan Warisan bakal mengembalikan pelaburan minyak dan gas, perindustrian, perkapalan, pengurusan pelabuhan dan pelancongan ke dalam kekuasaan penduduk Labuan yang ketika ini jatuh merudum dikuasai orang-orang luar Labuan.

"Penduduk Labuan memerlukan kuasa politik untuk menjaga kepentingannya dalam hal ehwal pentadbiran dan penguasaan pelaburan untuk membuka peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih baik untuk anak-anak Labuan," kata Salim.

Dalam ucapannya, Tailin meminta gerakan akar umbi setiap PDM diperkasakan untuk menyebarkan matlamat perjuangan Warisan kepada penduduk dan seterusnya mewakili parti dalam proses kempen dan pengundian.

Safari (kedua kanan) dalam perbincangan Wira dan Wirawati Labuan
Sementara Honorsius menegaskan, pucuk pimpinan Warisan telah mencapai tahap 70 peratus dalam persiapan meletakkan calon Warisan untuk kawasan Parlimen Labuan pada PRU14.

"Yang Berhormat Datuk Seri (Mohd.) Shafie (Apdal) akan menemui penduduk Labuan dan pada masa itu banyak perkara mustahak tentang kepentingan penduduk Labuan akan diumumkan," kata Honorsius.

Penduduk Labuan ketika ini menghadapi kesempitan peluang pekerjaan dan kemerosotan kuasa beli ekoran kejatuhan industri minyak dan gas serta pemindahan operasi ke tempat-tempat lain.
Honorsius dan Tailin (kedua kanan) dalam satu perjumpaan tertutup Warisan Labuan
Dalam perkembangan lain, Salim ketika menemui peniaga Pasar Ikan Sungai Keling menerima reaksi tentang kegawatan ekonomi yang melanda Labuan kini dan berharap berlaku perubahan politik yang seterusnya dapat mengembalikan iklim ekonomi yang lebih segar di Labuan.

Honorsius lekat stiker kenderaan I Am DSSA di Labuan

Monday, 23 October 2017

Warisan terharu sokongan rakyat: Honorsius

Rakyat terus sokong sambutan ulang tahun Warisan dan presiden

HONORSIUS

KOTA KINABALU: 21-10-17 - Solidariti kalangan penggerak Parti Warisan Sabah yang datang dari pelbagai kawasan bagi memperingati hari ulang tahun pertama parti dan meraikan hari jadi ke-60 Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal amat disanjung tinggi.
Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin berkata sesungguhnya kehadiran ramai tanpa dirancang dan tanpa koordinasi di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu menyemarakkan lagi semangat parti untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Pucuk pimpinan Warisan khususnya amat berterima kasih atas semangat ramai yang datang memberi ucap selamat dan doa restu ketika mana pucuk kepimpinan parti menerima tekanan dari pihak lawan,” kata Honorsius.
Menurut Honorsius lagi, perkara yang amat dihargai ialah kesetiaan para penyokong secara beretika tanpa provokasi sepanjang menunggu proses mahkamah dari pagi sehingga petang dalam keadaan cuaca yang kurang baik.
Datuk Peter Anthony berucap di tengah kerumunan penyokong Warisan 
Honorsius menegaskan, warna-warni rakyat Sabah berbilang keturunan yang menunggu di luar mahkamah memperlihatkan betapa Sabah dan rakyatnya menaruh harapan tinggi kepada Warisan untuk memperbaiki nasib mereka yang memerlukan pembelaan.
“Laungan ‘Sabah Ubah’ menjadi azimat Warisan meneruskan agenda perubahan rakyat Sabah dan ungkapan ‘Happy Birthday Datuk Seri’ menjadi restu kepada pucuk pimpinan untuk terus berpihak kepada rakyat mengembalikan maruah orang Sabah,” kata Honorsius.
Munirah Majilis Ketua Wirawati Warisan
Honorsius berharap, hadirin yang kini sudah kembali ke kawasan masing-masing agar terus ingat pesanan para pemimpin parti bagi melaksanakan pelbagai program menemui rakyat di kampung-kampung dalam rangka memperkukuhkan lagi kekuatan parti.

YB Junz Wong Naib Presiden Warisan

Friday, 20 October 2017

Dari jauh Labuan ungkap salam Datuk Shafie

Warisan Labuan ucap selamat hari jadi Datuk Shafie


Salim dan Warisan Labuan ungkap salam hari jadi kepada Shafie
WP LABUAN: 20-10-17 – Warisan Labuan menghulur salam mengucap selamat hari jadi kepada Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal yang sedang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu.
Dalam majlis singkat, hari jadi dan solidariti presiden, setiap seorang dari kalangan pendukung Warisan Labuan yang berkumpul di sebuah rumah peranginan tepi laut, Lubok Temiang mengucapkan selamat dan mengungkapkan doa semoga Shafie terus sihat dan beroleh berkat dalam perjuangan.

Salim (empat kanan) bersama sebahagian ketua PDM menyala lilin sebagai ungkapan solidariti kepada Shafie yang dalam tahanan reman SPRM
“Walau apapun halangan yang merintang Datuk Shafie memperjuangkan perubahan rakyat, Warisan Labuan tetap berdiri teguh memberi seokongan sehingga Warisan memperoleh kemenangan,” kata Pengerusi Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman.
Majlis bermula 6.30 petang itu diawali upacara menyala lilin di tepi pantai sebagai menunjukkan keikut-sertaan para penyokong Warisan Labuan terhadap batasan pergerakan Shafie yang berada dalam tahanan reman.

Hadirin dirai dalam jamuan ringkas selesai majlis solidariti dan hari jadi Shafie di Labuan
Upacara itu disusuli majlis memotong kek khas hari jadi ke-60 Datuk Seri Shafie di dalam rumah yang didahului madah-madah ungkapan perjuangan semua yang hadir dan diakhiri ucapan Salim.
Antara ungkapan hadirin ialah mendoakan kesejahteraan perjuangan Warisan untuk mengembalikan kemakmuran hidup kepada penduduk Labuan dan seterusnya mengembalikan kuasa rakyat Sabah ke atas pemerintahan Negeri Sabah.
Dalam ucapan singkatnya, Salim menyatakan, “hari ini kita sepatutnya sedang sibuk mempersiapkan majlis penting Warisan Labuan, di mana kita telah menetapkan 21 Oktober 2017 untuk menyambut kedatangan Datuk Shafie ke tempat ini (kawasan lapang depan pantai di Lubok Temiang).”

Di tempat ini dijadual perjumpaan Shafie dengan penduduk Labuan
“Namun keadaan (ditahan reman) yang berlaku kepada Datuk Shafie dan beberapa pemimpin kanan lain, memaksa kita akur untuk menunda perjumpaan penting itu,” kata Salim sambil menambah, permit polis untuk perjumpaan itu ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Turut hadir, beberapa pemimpin penyelaras Warisan Labuan terdiri daripada setiausaha, George Elias, Harold Lim (bendahari), Julius Elias (penerangan), Allan Roslan (ahli jawatankuasa) dan beberapa ketua pusat daerah mengundi.

Kek hari jadi untuk Datuk Shafie
Kek dan bendera Wilayah Persekutuan Labuan






Monday, 25 September 2017

Penduduk Labuan siap sokong calon Warisan

Salim sambut baik pengumuman Shafie letak calon Warisan di Labuan

SALIM (sebelah Shafie) beserta rombongan Warisan Labuan ketika menemui presiden di Kota Kinabalu.
LABUAN: 24/9/17 - Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah Labuan, Salim Abdul Rahman menyambut baik pengumuman Presiden Datuk Mohd Shafie Apdal untuk meletakkan calon parti itu bertanding bagi kerusi Parlimen Labuan pada PRU14.
“Kami menyambut baik pengumuman itu dengan berusaha menemui setiap pengundi Labuan untuk menyatakan tujuan Warisan menawarkan diri mewakili Parlimen Labuan, yakni mahu mengatasi kesengsaraan hidup penduduk yang kini terhimpit oleh kejatuhan industri minyak dan gas,” kata Salim.
Salim yang sebelum ini berkhidmat hampir 20 tahun dalam bahagian kerjuruteraan industri minyak dan gas yakin, Warisan mampu memperbanyak pelaburan perindustrian dan perkapalan di Labuan sebaik memperoleh mandat menerajui Kerajaan Negeri Sabah pada PRU14.
Salim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shafie ketika berucap dalam perjumpaan Bicara Warisan di Kuala Penyu 23 September yang turut tersiar dalam berita online www.borneotoday.net. 

SALIM (belakang kiri) ketika hadir program Shafie di Kuala Penyu.
Menurut Salim, 54, keyakinan itu adalah berdasarkan manifesto Warisan yang meletakkan penubuhan Petroleum Sabah, pembangunan pelabuhan antarabangsa Labuan dan Kudat serta penstrukturan Yayasan Sabah sebagai sebahagian agenda memperbanyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah dan Labuan.
Salim menegaskan, pihaknya selaku penyelaras berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin keahlian penduduk akar umbi di samping merayu setiap pengundi agar memberi peluang kepada Warisan mengubah nasib mereka yang terabai dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.
“Tugas kita semata-mata untuk memastikan Warisan dapat merealisasikan misinya memenangi Parlimen Labuan tanpa memikirkan siapa calon kerana pemilihan calon adalah bidang kuasa pucuk pimpinan parti,” kata Salim.
Salim memaklumkan, sokongan penduduk Labuan ke atas Warisan semakin hari semakin berkembang subur hasil usaha pucuk pimpinan parti melawat Labuan yang dimulakan Naib Presiden, Junz Wong, diikuti Ketua Penerangan Honorsius Datuk Alfred Bosuin dan terbaru Timbalan Presiden Darell Ignatius Leiking.
Selain kunjungan tersebut, rombongan Warisan Parlimen Tenom pernah menemui kalangan pengundi Tenom dan Pensiangan, manakala Crispin Datuk Kitingan menemui pengundi Tambunan di Labuan.
Salim menyatakan pada masa ini pihaknya sedang mempersiapkan kehadiran Shafie untuk menemui penduduk Labuan.







Thursday, 14 September 2017

Warisan tiada kaitan dengan Tun M

Poster Warisan disabotaj, kaitkan parti dengan Tun M

FITNAH suntingan pihak tidak bertanggungjawab

KOTA KINABALU: 14 Sept. 2017. Parti Warisan Sabah (Warisan) pada hari ini mendapati poster hebahan program ‘WHY WARISAN?? TAWARAN WARISAN KEPADA PENAMPANG’ yang diedar melalui media sosial disunting cyber trooper tidak bertanggungjawab dengan menggantikan pernyataan ‘TAWARAN WARISAN KEPADA PENAMPANG’ menjadi ‘TAWARAN TUN M KEPADA PENAMPANG’.

Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin menjelaskan sesungguhnya Parti Warisan tidak mempunyai kaitan dengan pemimpin Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan atas sebab itu tiada alasan bagi Parti Warisan untuk meletakkan pernyataan ‘TAWARAN TUN M KEPADA PENAMPANG’ dalam hebahan programnya.

“Suntingan tersebut adalah FITNAH terhadap perjuangan sebenar Parti Warisan Sabah.
“Kami menggesa ahli-ahli parti dan para penyokong Warisan agar terus fokus memperjuangkan perubahan politik Sabah seperti yang sering diamanatkan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Kami meminta orang ramai mengabaikan dakyah pihak tidak bertanggunjawab yang mengaitkan Warisan dengan pihak-pihak tidak berkaitan khususnya pemimpin perjuangan parti politik di luar Sabah,” kata Honorsius.

Asli (atas) palsu (bawah)
Honorsius berkata demikian sebagai mengulas poster media program Warisan di Kg Ramayah, Penampang 16 September ini yang disunting pihak tidak bertanggunjawab bagi memfitnah orang ramai dan mensabotaj sambutan orang ramai ke atas program berkenaan.

Honorsius menegaskan, Parti Warisan Sabah memandang serius kejadian menyunting poster media program parti itu dan akan menggunakan perundangan jenayah siber untuk mengheret pelaku tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan. End

Unit Media
Ketua Penerangan Warisan Sabah

Suntingan pihak tidak bertanggunjawab sabotaj sambutan hadirin ke program parti
Asli yang dikeluarkan dari ibu pejabat Warisan