Sunday, 28 January 2018

Warisan Pensiangan adakan pertemuan di Nabawan 28 Jan

Pengundi siap sedia sambut kadatangan Datuk Peter, Dato' Azis

Ahuar, Mudi dan jawatankuasa pelaksana dalam persiapan terakhir
Nabawan: 28/1/18 - Jawatankuasa pelaksana Program Bersama Pemimpin Warisan di Kg Malampoi hari ini, 28 Januari 2018 siap sedia menyambut kedatangan dua pemimpin kanan Parti Warisan Sabah dengan penuh warna tradisi Murut dan semangat patriotik Sabah Ubah, Undi Warisan.

Sebahagian ahli jawatankuasa pelaksana dalam mesyuarat akhir kelmarin
Program dijadual bermula 2.00 petang dengan ketibaan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dan Ketua Wira Warisan, Dato' Azis Jamman pada jam 2.20 petang yang akan disambut dengan upacara Tutuluk atau merenjis.

Menyusul upacara tersebut ialah pelbagai persembahan kebudayaan sebelum nyanyian 'Sabah Tanah Air Ku' dan lagu rasmi Parti Warisan. Doa selamat kemudian dibacakan yang kemudian diikuti ucapan alu-aluan Ketua Penyelaras Warisan Pensiangan, Tuan Ahuar Rasam yang juga pengerusi penganjur.

Banner media sosial yang juga latar pentas perjumpaan
Dato' Azis menyusul mengambil tempat menyampaikan ucapan yang akan diikuti ucapan perasmian Datuk Peter yang juga Presiden KDM Malaysia.

Majlis penyampaian borang keahlian Warisan akan mengambil tempat yang akan diterima secara rasmi oleh Datuk Peter dan Dato' Azis. Majlis dijadual selesai 5.00 petang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Mudi Dubing yang juga Penyelaras Warisan DUN Tulid mengalu-alukan penduduk kawasan DUN Nabawan, Sook dan sekitarnya untuk menghadiri sesi majlis ramah mesra itu. 

Jumpa kita di Kg Malampoi Nabawan, bertempat di rumah Encik Antun Angatun.


Saturday, 20 January 2018

Labuan sambut Warisan pulih kemunduran ekonomi

Bicara Presiden Warisan di Pohon Batu dihadiri 2,000 penduduk Labuan


Shafie diiringi Salim (kanan) dan Honorsius ketika menjawab soalan media di Pohon Batu

LABUAN: 20 Januari 2018 – Penduduk Labuan menyambut kehadiran Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan penuh semangat dan harapan untuk merealisasikan perjuangan parti itu, Sabah Ubah, Labuan Ubah, Undi Warisan.
Kehadiran penduduk ke Bicara Presiden Warisan dengan sendirinya menyemarakkan sokongan mereka kepada Parti Warisan untuk menyokong calon parti itu bertanding kawasan Parlimen P166 Labuan pada PRU14 tahun ini.
Kira-kira 2,000 penduduk yang hadir dalam program di Pohon Batu itu telah menyaksikan 15 wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) Labuan menyerahkan borang keahlian kepada Shafie yang merangkumi 1,163 ahli baharu.

Hadirin Bicara Presiden Warisan di Pohon Batu

“Sabah Ubah, Labuan Ubah, Undi Warisan,” demikian gema laungan hadirin bersahut-sahutan menyambut isi-isi ucapan Shafie yang bertenaga dan penuh harapan untuk mewujud perubahan hidup rakyat.
Shafie menegaskan perubahan di Sabah yang didukung perubahan di Labuan bakal memberi impak ke atas perubahan menyeluruh dalam iklim politik dan kehidupan rakyat Malaysia.

Shafie bersama para pemimpin kanan Warisan ketika Bicara Presiden di Labuan
“Esok Warisan mendapat mandat mentadbir Sabah, kita akan menuntut kerajaan Persekutuan menunaikan agihan 20 peratus hasil minyak dari Sabah guna mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” kata Shafie.
Menurut Shafie, perubahan yang diperjuangkan Warisan di Sabah turut sama memberi limpahan kepada Labuan dalam aspek kesejahteraan hidup, peluang pekerjaan dan kemakmuran ekonomi.
“Dari segi bekalan tenaga elektrik dan air, Labuan bergantung kepada sumber dari Sabah dan Warisan akan memastikan penduduk Labuan memperoleh bekalan yang mencukupi dengan kadar tarif yang sama dengan Sabah,” kata Shafie.

Orang ramai mengiringi keberangkatan balik Shafie selepas Bicara Presiden
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna seterusnya memberitahu bahawa Kerajaan Warisan Sabah akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelabuhan Labuan dan pelaburan industri minyak dan gas demi membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada penduduk Labuan.
Menurutnya, di bawah perancangan Warisan, pelabuhan Kudat akan diperkembangkan fungsinya dalam pelayaran antarabangsa pelbagai arah, manakala pelabuhan Labuan akan diberi fungsi dalam rangkaian pelabuhan di Sabah.
Hadirin saling mengambil ruang berselfie bersama Shafie
Sementara itu, kumpulan pakar parti Warisan telah mengenal pasti mekanisme pengujudan syarikat minyak Sabah untuk melaksanakan sendiri usaha cari gali termasuk menempatkan perusahaan di Labuan.
Shafie seterusnya menjelaskan bahawa pemerhatiannya tentang sektor perkapalan dan fungsi pelabuhan di Labuan memberi kesan awal bahawa sektor itu sedang mengalami kemunduran dan gagal memberi sumber pekerjaan kepada penduduk.
Pelancongan juga menjadi ketuamaan Warisan dan sebaik menerima mandat, usaha dijalankan untuk meningkatkan kehadiran pelancong demi perkembangan perusahaan perhotelan, restoran dan peluang perniagaan kepada penduduk.

Munirah memberi perangsang ke atas peranan wirawati dalam perjuangan Warisan
Turut hadir Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman dan para pemimpin kanan parti terdiri daripada Timbalan Presiden, Darell Leiking, Naib-naib Presiden, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Junz Wong, Setiausaha Agung, Loretto Padua Jr, Bendahari Agung, Terence Siambun, Setiausaha Penganjur, Honorsius Datuk Alfred Bosuin, Ketua Wanita, Hajah Johair Matlani, Ketua Wira, Datu Azis Jamman dan Ketua Wirawati, Munirah Majilis.
Shafie dan rombongan melakukan lawatan kerja tiga hari di Labuan dan turut mengunjungi penduduk beberapa perkampungan serta para peniaga di pasar tani dan UTC.
Warisan dibarisi para pemimpin berpengalaman dan berpengetahuan 






Sunday, 7 January 2018

Warisan Labuan semakin berkembang

Parti Warisan Sabah mulai bertapak kukuh di Labuan


Salim bersama penduduk Ranca Ranca Darat dalam satu sesi gotong royong
Sejak mula bertapak di Labuan Jun 2017, Parti Warisan Sabah telah menerima sambutan baik dari kalangan penduduk untuk menentukan halatuju politik mereka yang tidak terjaga dalam naungan Wilayah Persekutuan.

Warisan Labuan yang diselaras oleh Salim Abdul Rahman kian hari semakin banyak menerima pelawaan penduduk dari pelbagai kampung untuk menyertai program kemasyarakatan yang mereka adakan.

Program kemasyarakatan yang diadakan penduduk menandakan mereka bersedia menyokong perjuangan Warisan pimpinan mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Warisan Ranca Ranca Darat bergotong royong membersih jalan kampung
Program kemsayarakatan yang dianjurkan penduduk meliputi kerja-kerja gotong royong, sukan dan ramah mesra sosial. Pelaksanaan program kemasyarakatan di peringkat kampung-kampung dengan sendirinya menunjukkan Warisan sedang menempati hati penduduk sebagai pilihan utama apabila mengundi dalam PRU14 kurang tiga bulan dari sekarang.

Penduduk turut mengadakan sukan Warisan sebagai program membuka kesempatan saudara mara sekampung mendekati perjuangan Parti Warisan. Tanpa mempersoalkan nilai dan bentuk hadiah, penduduk menyertai program sukan bagi menunjukkan mereka menyambut kehadiran Warisan.

Salim bersama sebahagian penganjur Sukan Dart Warisan Tanjung Aru Labuan

Penganjur Sukan Dart bersama Salim merentang bendera Warisan
Sayap Wanita dan Wirawati turut menggembleng tenaga turun ke lapangan melaksanakan bakti sosial. Terbaru, aktiviti yang mereka laksanakan ialah pengumpulan dana membantu mangsa-mangsa banjir dan pokok tumbang serta pesakit kencing manis, strok dan tumor.


Wanita dan wirawati dengan sumbangan mereka.
Wanita menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa bencana alam
Angin perubahan politik penduduk Labuan dari menyokong Umno-BN kepada Warisan kian jelas apabila dari sehari ke sehari ada sahaja anggota baharu menyertai pergerakan Warisan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Dan perkembangan yang paling menggembirakan ialah kepimpinan Warisan Labuan sudah mencapai tahap kemantapan dan siap sedia berdiri sebagai satu bahagian dengan barisan kepimpinan yang lengkap meliputi jawatankuasa induk, wira, wirawati, wanita dan semua PDM.

Kemuncak kemantapan Warisan Labuan dapat direalisasikan apabila Shafie menemui penduduk pulau ini hujung Januari 2018 untuk meninjau kesiap-siagaan parti mewakili pembangkang Labuan bertanding PRU14 menghadapi Umno-BN.

Sepanjang tempoh kurang setahun ini, kalangan pemimpin kanan Warisan telah beberapa kali mengadakan lawatan kerja ke pulau ini. 

Antara yang pernah menemui penduduk Labuan ialah Timbalan Presiden, YB Darell Leiking, Naib Presiden, YB Junz Wong, Ketua Penerangan, Honorsius Datuk Alfred Bosuin, Ketua Wanita, Hajah Johair Hj Matlani dan wakil-wakil ibu pejabat wira dan wirawati.


Ketua Wirawati menyampaikan sumbangan tunai kepada salah seorang penerima.
Sebahagian penggerak Wanita ceria menunjukkan simbol Warisan dalam satu aktiviti turun padang.




Friday, 5 January 2018

Warisan Labuan siap sedia hadapi Umno-BN PRU14

Jentera pilihan raya Warisan semua 15 PDM Labuan mulai bergerak


Honorsius bersama sebahagian jentera Warisan 15 PDM Labuan

LABUAN: Jentera pilihan raya semua 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Labuan sudah digerakkan demi meyakinkan Parti Warisan Sabah mampu mewakili suara pembangkang berhadapan Umno-BN menawan kerusi Parlimen Labuan PRU14 tidak lama lagi.

Setiausaha Penganjur Parti Warisan Sabah, Honorsius Datuk Alfred Bosuin menerima pernyataan tersebut dari wakil Warisan semua PDM Labuan dalam satu perjumpaam khas di sini pada Khamis.

"Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan menemui penduduk Labuan hujung Januari untuk meninjau sendiri kehendak penduduk yang mahu pucuk pimpinan meletak calon kawasan Parlimen Labuan PRU14," kata Honorsius, mantan Ketua Penerangan Warisan yang kini turut dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha Tugas-Tugas Khas Presiden.

Salim Abdul Rahman (berdiri) dalam perjumpaan bersama Wira, Wirawati dan Wanita Warisan Labuan
Honorsius menambah, ibu pejabat Warisan telah memasukkan keperluan penduduk Labuan dalam manifesto pilihan raya, namun semua PDM masih perlu kemukakan kepada Penyelaras tentang apa yang mereka harapkan dapat dilaksanakan kerajaan selepas pilihan raya.

Warisan Labuan diselaraskan oleh Salim Abdul Rahman dari PDM Pohon Batu dibantu wakil-wakil semua 15 PDM merangkumi sayap wira, wirawati dan wanita. 

Salim, 54, sebelum menyertai sektor korporat berpengalaman 20 tahun dalam operasi kejuruteraan sebuah syarikat carigali Petronas.

Salim (berdiri) bersama rombongan dari ibu pejabat Warisan, Kota Kinabalu
Mengiringi Honorsius ke Labuan ialah Ketua Wanita Warisan, Hajah Johair Matlani, wakil sayap Wira, Safari Adnan dan wakil wirawati dari ibu pejabat Warisan, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Salim ketika memberi maklum balas kepada rombongan ibu pejabat Warisan menyatakan pihaknya sedang mempersiapkan kedatangan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke Labuan dan berharap Presiden Warisan dapat mengumumkan pendekatan parti mengatasi kemelut ekonomi yang sedang melanda penduduk Labuan sekarang.

Sebahagian penggerak Warisan peringkat PDM Labuan
Salim yakin Shafie sebagai ahli ekonomi dengan pengalaman menteri persekutuan puluhan tahun dapat memecah kebuntuan penduduk Labuan untuk memperbanyak peluang peluang pekerjaan dan merangsang suasana perniagaan yang kini merudum.

Perjumpaan sayap wira, wirawati dan wanita Warisan Labuan
Perjumpaan jawatankuasa penyelaras induk Warisan Labuan
Mantan Pengerusi Tetap Wanita Upko-BN Labuan (tengah) bersama Wanita Warisan Labuan
Honorsius bersama rombongan ibu pejabat Warisan ketika menemui Warisan Labuan pada Khamis