Tuesday, 8 May 2018

Warisan naik taraf Hospital Nukleus Labuan

Kementerian Kesihatan Sabah turut membantu perbaiki kemudahan perubatan di Labuan


NOOR Halim ketika menemui penduduk Kg Bebuloh
LABUAN: 7/5/18 (Isnin) - Penduduk Labuan bakal menikmati pembangunan yang disalurkan dari Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dengan mengundi Parti Warisan Sabah pada PRU14 Rabu 9 Mei ini termasuk kemudahan kesihatan Hospital Nukleus Labuan dan hospital swasta.

Calon Warisan Labuan, Noor Halim Datuk Haji Zaini berkata parti itu telah menyatakan dengan jelas
HALIM calon Warisan
Labuan
perancangan berkenaan dalam manifesto yang turut diperkuat dalam ucapan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menemui rakyat Labuan 4 Mei lalu.

"Labuan dengan status Wilayah Persekutuan akan terus menikmati pembangunan dari Putrajaya, pada waktu yang sama Kota Kinabalu bakal melebarkan tanggungjawabnya untuk menyalurkan pelbagai kemudahan kepada Labuan," kata Noor Halim.

Halim, 53, menyatakan demikian ketika sesi bertemu pengundi di Kg Bebuloh dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Benua.

Terdahulu, Ketua PDM Warisan Benua, Asrudy Ahmad memaklumkan bahawa sebelum ini kampung berkenaan merupakan kubu kuat Umno Barisan Nasional yang tidak pernah ditembusi mana-mana parti pembangkang.

"Tapi syukur alhamdulillah, malam ini kehadiran ramai penduduk kampung menunjukkan Warisan berjaya memecahkan kekuatan Umno-BN di kampung ini," kata Rudy meraikan kira-kira 100 penduduk hadir sesi kempen calon Warisan itu.

Turut hadir Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan, Simsudin Sidek.

ASRUDY AHMAD
Ketua PDM Warisan Benua
Dalam sesi ramah mesra Shafie minggu lalu, Presiden Warisan itu sempat memerhatikan kedaifan kemudahan perubatan di Labuan di mana pesakit tenat dan kritikal dihantar ambulan menaiki feri menyeberang lautan ke Menumbok untuk dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

"Esok Warisan jadi pemerintah (Negeri Sabah) kita telah merancang mewujudkan Kementerian Kesihatan dan Sosial untuk memperbaiki kemudahan kesihatan di seluruh Sabah termasuk di Labuan," kata Shafie.


Monday, 7 May 2018

Pelajar Labuan di UMS boleh dapat biasiswa Yayasan Sabah, kata Shafie

Yayasan Sabah mampu tawar biasiswa semua pelajar Sabah, Labuan di UMS: Shafie


LABUAN: 4/5/18 (Jumaat) - Pelajar Sabah dan Labuan yang menerima tawaran pengajian di
NOOR HALIM dalam satu sesi kempen
rumah ke rumah perkampungan atas air di Labuan
Universiti Malaysia Sabah (UMS) boleh mendapatkan biasiswa Yayasan Sabah di bawah penstrukturan badan sosial Kerajaan Negeri Sabah itu di bawah pentadbiran Parti Warisan Sabah selepas memperoleh mandat PRU14.


Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata pihaknya difahamkan terdapat kira-kira 3,000 pelajar asal Sabah dan Labuan sedang belajar di UMS dan amatlah wajar kalangan pelajar itu mendapat biasiswa pengajian selaras dengan matlamat asal penubuhan Yayasan Sabah.

"Warisan prihatin terhadap nasib pelajar yang dibebani hutang pinjaman pengajian yang diburukkan lagi oleh kesukaran pelajar mendapat pekerjaan selepas pengajian," kata Shafie dalam sesi ramah mesra membantu kempen calon Warisan Labuan, Noor Halim Datuk Haji Zaini di gelanggang bola keranjang SK62 Sungai Keling.

Hadir bersama Halim ialah tokoh korporat, Tan Sri Ibrahim Menudin, mantan Ahli Parlimen Labuan selama tiga penggal, Datuk Mulok Awang Damit, Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman, Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek dan para penggerak kempen Warisan, PKR dan DAP.

Kira-kira 3,500 penduduk pelbagai lapisan menghadiri sesi sebelah malam itu.

Shafie seterusnya menegaskan, Yayasan Sabah memiliki pelbagai sumber yang apabila distrukturkan semula dapat memenuhi tanggungjawab sosial kepada rakyat termasuk melaksanakan pelbagai pelaburan industri untuk membuka lebih besar peluang pekerjaan kepada penduduk Labuan dan wilayah-wilayah di sekitar pulau ini.

Shafie dalam sesi ramah mesra pengundi di Sungai Keling Labuan

Sunday, 6 May 2018

Ellron diramal tinggalkan PBRS sertai Umno


Krisis Kurup-Ellron rugikan rakyat Sook


ELLRON selaku kalawon Sook akan terus ditekan diganggu Kurup


SOOK (Keningau): 6/5/18 (Ahad) – DUN Sook akan mengalami krisis politik tidak berkesudahan seandainya calon PBRS-BN Datuk Ellron Alfred Angin memenangi kerusi itu dalam PRU14 ini.

Konflik politik akan terus berlaku kerana Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup sejak awal tidak pernah merestui Ellron bertanding kawasan Sook, sebaliknya Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman menggunakan kuasanya mencalonkan Ellron.

“Kurup memang sudah nekad menyingkirkan Ellron dari PBRS dan ini kelihatan sejak Ellron dinafikan bertanding jawatan Timbalan Presiden PBRS, sebaliknya anak Kurup iaitu Arthur Kurup diberi laluan licik menjadi Timbalan Presiden,” kata seorang mantan ahli PBRS cawangan di sini.

Mantan ketua cawangan itu seterusnya memberikan senario, dengan tersingkirnya Ellron dari pucuk kepimpinan PBRS maka segala keputusan parti itu ditentukan Kurup, isterinya Melinda sebagai ketua wanita PBRS dan anaknya Arthur sebagai Timbalan Presiden PBRS.

Kuasa keluarga Kurup dalam PBRS ini bakal mengganggu kapasiti Ellron sebagai wakil rakyat andai dipilih nanti dan situasi ini sudah tentu merugikan rakyat Sook yang diwakilinya.

“Dengan gangguan yang berterusan dalam PBRS, sudah pasti Ellron akan mencari tempat yang lebih tenang untuk bekerja dan besar kemungkinan Ellron akan menyertai Umno selepas PRU14,” kata mantan ketua cawangan yang keberatan disiarkan namanya itu.

Menurut mantan ketua cawangan itu lagi, Ellron sudah pasti akan menyertai Umno kerana terhutang budi dengan Musa sebagai ketua perhubungan Umno Sabah yang telah menggunakan kuasanya mencalonkan Ellron.

“Penambahan kerusi yang ditandingi Umno tidak baik untuk Sook dan rakyat Sabah seluruhnya kerana Umno kini bertanding di lebih separuh jumlah kerusi DUN Sabah,” katanya.

Beliau menambah, krisis keluarga Kurup dan Ellron tidak akan pulih kerana menjelang PRU14, ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak ke Nabawan, Ellron dituduh memberi dorongan kepada sekumpulan penyokong untuk memalukan Kurup dengan kata-kata dalam T-Shirt dan slogan yang dilaungkan.

Ketika itu ramai menyangka Ellron bakal diketepikan bertanding kerana akan disingkirkan oleh Kurup, tetapi Ellron dicalonkan oleh Musa dan sudah pasti ini telah menambahkan lagi sakit hati Kurup kepada Ellron.

Dendam Kurup kepada Ellron akan berlanjutan dan kuasa PBRS akan terus digunakan untuk menekan Ellron kemudian nanti.

Saturday, 5 May 2018

Warisan Sabah bela nasib rakyat Labuan: Shafie


Labuan harus dapat apa yang telah dijanjikan ketika Sabah menyerahkan pentadbiran pulau itu kepada Wilayah Persekutuan


Shaafie ketika berucap di hadapan penduduk Labuan

LABUAN: 4/5/18 – Kerajaan Negeri Sabah di bawah perntadbiran Parti Warisan Sabah akan memberi perhatian terhadap keperluan penduduk Labuan dengan menyuarakan perkara itu kepada Parlimen dan Putrajaya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata perancangan Ahli Parlimen Labuan selama ini tidak pernah mendapat sambutan adil dari pihak persekutuan kerana tertakluk kepada budi bicara Menteri Wilayah Persekutuan.

“Berikan kemenangan kepada calon Warisan Parlimen Labuan 9 Mei ini, insyaallah dengan mandat rakyat, Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan akan bersama-sama Ahli Parlimen Warisan Labuan menyuarakan kepentingan Labuan di peringkat persekutuan,” kata Shafie.

Shafie menegaskan, Warisan juga telah merangka pembangunan Labuan untuk
NOOR HALIM DATUK
HAJI ZAINI
CALON WARISAN
LABUAN
mengembalikan pelbagai pelaburan industri, perkilangan, pengurusan pelabuhan dan perkapalan demi mewujudkan semula pelbagai peluang pekerjaan penduduk Labuan yang kini lengang dan buntu.

Menurut Shafie, Noor Halim Datuk Haji Zaini adalah pemimpin tepat yang mampu mengembalikan kemakmuran ekonomi Labuan berdasarkan latar belakang akademik dan pengalaman dalam bidang cari gali minyak.

Shafie berkata demikian ketika membantu kempen Calon Warisan Labuan, Noor Halim Datuk Haji Zaini di gelanggang bola keranjang SK62 Sungai Keling di sini pada Sabtu malam.

"Kita tidak akan mengganggu-gugat status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan tapi apa yang tertulis ketika Sabah menyerahkan Labuan kepada Persektuan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, penduduk Labuan harus mendapatkan apa yang telah dijanjikan kepada mereka," tegas Shafie.

Turut hadir, ketua penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman, mantan Ahli Parlimen Labuan selama tiga penggal, Datuk Mulok Awang Damit, tokoh korporat, Tan Sri Ibrahim Menudin, Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek dan ketua-ketua PDM Warisan Labuan.

Hadirin melimpahi khemah-khemah

Kira-kira 3,500 penduduk Labuan pelbagai lapisan dan keturunan menghadiri sesi kempen calon Warisan Labuan bersama Presiden itu yang dibungai laungan Sabah Ubah, Labuan Ubah, Undi Warisan.

Ketika menantikan ketibaan Shafie, Mulok dalam ucapannya menyatakan penduduk Labuan terlantar sendirian tanpa ada mana-mana pihak di persekutuan menyuarakan pembelaan bagi mempertahankan peluang-peluang pekerjaan industri minyak dan gas yang kini kebanyakannya sudah memindahkan operasi ke tempat-tempat lain.

“Apa yang dilakukan apabila pemimpin tertentu dari Kuala Lumpur melawat Labuan ialah membuai dan mengkhayalkan penduduk Labuan dengan hiburan-hiburan pentas tanpa sebarang perancangan konkrit untuk memulihkan ekonomi Labuan,” kata Mulok.

Hadirin berdiri kehabisan kerusi
Hadirin turut memenuhi kawasan lapang gelanggang bola keranjang


Wednesday, 2 May 2018

Perkuat sokongan mengundi Maklin, kata Zinin


Undi untuk Maklin adalah undi untuk Warisan menjadi kerajaan


Maklin ketika menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Darell
sambil diperhatikan Zinin (kiri)

PITAS: 2/5/18 – Pengarah Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Sabah DUN Pitas, Mohd. Zinin Andong Ajak merayu semua pengundi yang menyokong matlamat bersama mengalahkan Umno-BN agar bersatu hati memberikan kemenangan kepada calon Warisan kawasan itu, Maklin Masiau.

Zinin berkata adalah penting untuk menyatukan kekuatan mencapai kemenangan bersama melalui Warisan dengan memberikan sokongan dan undi kepada Maklin, calon yang telah diputuskan pucuk pimpinan Warisan untuk bertanding di kawasan DUN Pitas.

“Kita jangan lagi menoleh ke belakang, kita harus memandang ke hadapan untuk memberikan undi kepada Maklin kerana kemenangan parti amat penting untuk mencapai matlamat perjuangan menstrukturkan semula pentadbiran Negeri Sabah agar keadaan dapat diperbaiki menjadi kerajaan yang berorientasikan kepentingan rakyat,” kata Zinin yang juga Ketua Penyelaras Warisan Pitas.

Zinin yang juga Naib Ketua Bahagian Warisan Kudat berkata demikian sebagai mengulas luahan perasaan segelintir pengundi peringkat akar umbi yang tidak menjangkakan pencalonan Maklin.

Menurut Zinin, selaku pemimpin yang pernah bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu, Maklin mempunyai pendukung tersendiri dan adalah penting untuk semua penggerak Warisan di Pitas, para penyokong, rakan-rakan dan saudara-mara untuk menggabungkan kekuatan bersama memberikan undi kepada Maklin.

ZININ: Pengarah Jentera Pilihan Raya Warisan DUN Pitas

Zinin menjelaskan pihaknya menerima pencalonan Maklin dengan hati terbuka dan penerimaan itu ditunjukkan dengan menggerakkan seluruh kekuatan jentera pilihan raya Warisan DUN Pitas untuk memberikan kemenangan kepada calon.

Maklin, mantan guru graduan, meletakkan jawatan pada PRU13 untuk bertanding atas tiket STAR dan meraih undi lebih 3,000, menjadikan jumlah itu antara perolehan undi terbanyak calon-calon parti berkenaan.

Awal tahun ini, Maklin bersama para penyokongnya menyertai Warisan dengan menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Pencalonan Maklin atas tiket Warisan PRU14 ini dicadangkan oleh Abd. Lakah Monyok dan disokong oleh Raymond Maguntad. Maklin kemudian melantik Sabran Amang sebagai wakil calon dan Zinin sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya.



Tuesday, 1 May 2018

Warisan perkenal dasar pekerjaan Labuan


Ketika ini tiada sebarang dasar menjamin peluang pekerjaan penduduk Labuan


Noor Halim bertemu belia ketika berjumpa penduduk di Sg Miri
SUNGAI MIRI (Labuan): 1/5/18 (Selasa) – Parti Warisan Sabah akan memperkenalkan dasar pekerjaan yang lebih menjamin peluang pekerjaan penduduk Labuan selepas memperoleh mandat rakyat dalam PRU14 ini.

Calon Warisan kawasan Parlimen P166 Labuan, Tuan Noor Halim bin Datuk Haji Zaini berkata dasar pekerjaan itu melibatkan syarat 80 peratus pekerja Labuan dalam penerimaan syarikat asing yang memperoleh kontrak di Labuan, pas pekerja luar yang mahu bekerja di Labuan serta pengenalan umur maksimum pekerja luar yang dibenarkan bekerja di Labuan.

“Dasar pekerjaan ini adalah semata-mata untuk membuka peluang lebih besar kepada penduduk Labuan untuk memperoleh pekerjaan di tempat sendiri, di samping pengawalan kemasukan pekerja luar yang boleh menutup peluang orang Labuan mendapat kerja,” kata Noor Halim.

Sebahagian penduduk PDM Sg Lada yang datang perjumpaan di Sg Miri
Menurut Halim, Warisan mampu membuka laluan penguatkuasaan dasar pekerjaan itu melalui proses penggubalan perundangan di Parlimen di samping kuasa perlindungan Kerajaan Negeri Sabah untuk berunding dengan pihak persekutuan.

Noor Halim berkata demikian ketika berucap dalam sesi bertemu pengundi PDM Sungai Lada di Sungai Miri petang Selasa.

Turut hadir, Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman, utusan ibu pejabat Warisan, Tan Sri Ibrahim Menudin, mantan Ahli Parlimen Labuan tiga penggal, Datuk Abdul Mulok Awang Damit, Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua PDM Warisan Sungai Lada, Safar Sabtu.

Noor Halim berinteraksi dengan kalangan ibu-ibu
Noor Halim menegaskan, banyak amalan pentadbiran Umno-BN sejak mewakili Labuan 1986 tidak melindungi kepentingan penduduk Labuan dan pelbagai kelemahan itulah yang mahu Warisan atasi sebaik memperoleh mandat rakyat 9 Mei depan.

Terdahulu, Salim dalam ucapannya menyatakan pihaknya sebagai ketua penyelaras Warisan sedang bekerja keras memberi sokongan kemenangan kepada calon Warisan dalam PRU14 ini.

Salim meminta rakan-rakannya di peringkat akar umbi agar turut sama bekerja keras menyokong kempen dan mengundi calon Warisan, Noor Halim agar perubahan Labuan dapat realisasikan.

Salim ketika menyampaikan ucapan sokongan calon Warisan
Tan Sri Ibrahim selaku tokoh korporat dalam ucapannya turut menyingkap pelbagai usaha yang akan dilakukan selepas memperoleh mandat rakyat demi memulihkan semula ekonomi Labuan yang telah dan sedang mengalami dampak kejatuhan sekarang.
Tan Sri Ibrahim Menudin ketika berucap di Sg Miri
Dari kiri: Simsudin, Noor Halim, Ibrahim, Mulok dan Salim


Labuan beruntung jika undi Warisan


Pemulihan Labuan dapat dibuat dari arah Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, kata Noor Halim


Dari kiri: Simsudin, Mulok dan Noor Halim

LUBOK TEMIANG (Labuan): 30/4/18 (Isnin) – Penduduk Labuan lebih beruntung jika mengundi Parti Warisan Sabah pada PRU14 ini kerana pemulihan ekonomi Labuan akan dapat dilaksanakan dari dua arah, dari peringkat persekutuan dan dari peringkat Kerajaan Negeri Sabah.

Calon Warisan P166 Labuan, Tuan Noor Halim bin Datuk Haji Zaini berkata ini kerana banyak faktor memberi petunjuk bahawa pembangkang bakal memenangi pilihan raya peringkat Parlimen sementara Warisan bersama PKR dan DAP bakal memenangi pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kemenangan Warisan akan memberi laluan kepada penduduk Labuan untuk menuntut Putrajaya menyempurnakan tanggungjawab pembangunan kepada Labuan di bawah status Wilayah Persekutuan.”

“Di samping itu, penduduk Labuan bakal mendapat sokongan politik dari Kerajaan Negeri Sabah untuk mengujudkan semula pelbagai operasi perindustrian dan perkilangan yang pernah dibangunkan sekitar awal 1980-an,” kata Noor Halim ketika mengadakan pertemuan di Kg Lubok Temiang Isnin malam.

Noor Halim ketika berucap di Lubok Temiang

Turut hadir mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Mulok bin Awang Damit, Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek dan kalangan ahli jawatankuasa induk Warisan Labuan.

Terdahulu ketika memberikan ucapan sokongan kepada calon, Mulok menyatakan Putrajaya kian mengabaikan tanggungjawab terhadap janji pembangunan kepada Labuan, sebaliknya asyik memberikan janji yang terbukti hanya pembohongan.

“Janji pembinaan jambatan Labuan – Menumbok sudah berapa lama? Janji hanya sekadar janji kerana kewangan negara menunjukkan kerajaan persekutuan tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk melaksanakan projek pembangunan besar.”

“Malahan selepas satu kajian, sebuah kajian lain mahu dibuat. Dan setiap kajian menelan jutaan ringgit. Sampai bila kita mahu dibohongi? Dipalui-paluinya kita, buyuk semua,” ujar Mulok.

Mulok seterusnya mengambil contoh, kronisme dan konspirasi yang menjadi amalan Umno meletakkan Ahli Parlimen Labuan terus terpinggir tanpa diberi sebarang ruang menduduki peranan penting di peringkat pusat.

“Ahli Parlimen Labuan jarang mampu bertahan lama semata-mata kerana mahu menutup senioriti untuk menduduki jawatan penting di peringkat persekutuan,” kata Mulok yang merupakan Ahli Parlimen Labuan tiga penggal bermula 1986.

Turut berucap Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek yang menyatakan PRU14 ini menjadi cetusan kerjasama parti-parti pembangkang di mana calon Warisan mendapat sokongan PKR dan DAP.

Simsudin ketika memberi ucapan sokongan kepada calon Warisan

“Kita menyokong Warisan kerana kita menghadapi musuh yang sama iaitu menumbangkan Umno-BN. Justeru, saya merayu kepada semua penyokong PKR, semua penyokong DAP agar memberikan undi kepada calon Warisan,” rayu Simsudin.

Calon Warisan, Noor Halim melahirkan penghargaan atas sokongan Mulok, PKR dan DAP lalu meminta kepada ustaz-ustaz agar menyokong Warisan untuk memberi lebih peluang untuk menang.

Noor Halim juga meminta semua penduduk agar menolak calon Pas, menolak calon Harapan Rakyat pimpinan Datuk Lajim Ukin kerana parti-parti itu hanya mahu memberi keuntungan politik kepada Umno-BN. Calon-calon pula bukan berasal dari Labuan.
Sebahagian hadirin ceramah Warisan di Lubok Temiang
Perjumpaan diadakan di sebuah rumah penduduk