Sunday, 6 May 2018

Ellron diramal tinggalkan PBRS sertai Umno


Krisis Kurup-Ellron rugikan rakyat Sook


ELLRON selaku kalawon Sook akan terus ditekan diganggu Kurup


SOOK (Keningau): 6/5/18 (Ahad) – DUN Sook akan mengalami krisis politik tidak berkesudahan seandainya calon PBRS-BN Datuk Ellron Alfred Angin memenangi kerusi itu dalam PRU14 ini.

Konflik politik akan terus berlaku kerana Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup sejak awal tidak pernah merestui Ellron bertanding kawasan Sook, sebaliknya Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman menggunakan kuasanya mencalonkan Ellron.

“Kurup memang sudah nekad menyingkirkan Ellron dari PBRS dan ini kelihatan sejak Ellron dinafikan bertanding jawatan Timbalan Presiden PBRS, sebaliknya anak Kurup iaitu Arthur Kurup diberi laluan licik menjadi Timbalan Presiden,” kata seorang mantan ahli PBRS cawangan di sini.

Mantan ketua cawangan itu seterusnya memberikan senario, dengan tersingkirnya Ellron dari pucuk kepimpinan PBRS maka segala keputusan parti itu ditentukan Kurup, isterinya Melinda sebagai ketua wanita PBRS dan anaknya Arthur sebagai Timbalan Presiden PBRS.

Kuasa keluarga Kurup dalam PBRS ini bakal mengganggu kapasiti Ellron sebagai wakil rakyat andai dipilih nanti dan situasi ini sudah tentu merugikan rakyat Sook yang diwakilinya.

“Dengan gangguan yang berterusan dalam PBRS, sudah pasti Ellron akan mencari tempat yang lebih tenang untuk bekerja dan besar kemungkinan Ellron akan menyertai Umno selepas PRU14,” kata mantan ketua cawangan yang keberatan disiarkan namanya itu.

Menurut mantan ketua cawangan itu lagi, Ellron sudah pasti akan menyertai Umno kerana terhutang budi dengan Musa sebagai ketua perhubungan Umno Sabah yang telah menggunakan kuasanya mencalonkan Ellron.

“Penambahan kerusi yang ditandingi Umno tidak baik untuk Sook dan rakyat Sabah seluruhnya kerana Umno kini bertanding di lebih separuh jumlah kerusi DUN Sabah,” katanya.

Beliau menambah, krisis keluarga Kurup dan Ellron tidak akan pulih kerana menjelang PRU14, ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak ke Nabawan, Ellron dituduh memberi dorongan kepada sekumpulan penyokong untuk memalukan Kurup dengan kata-kata dalam T-Shirt dan slogan yang dilaungkan.

Ketika itu ramai menyangka Ellron bakal diketepikan bertanding kerana akan disingkirkan oleh Kurup, tetapi Ellron dicalonkan oleh Musa dan sudah pasti ini telah menambahkan lagi sakit hati Kurup kepada Ellron.

Dendam Kurup kepada Ellron akan berlanjutan dan kuasa PBRS akan terus digunakan untuk menekan Ellron kemudian nanti.

No comments:

Post a Comment