Wednesday, 2 May 2018

Perkuat sokongan mengundi Maklin, kata Zinin


Undi untuk Maklin adalah undi untuk Warisan menjadi kerajaan


Maklin ketika menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Darell
sambil diperhatikan Zinin (kiri)

PITAS: 2/5/18 – Pengarah Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Sabah DUN Pitas, Mohd. Zinin Andong Ajak merayu semua pengundi yang menyokong matlamat bersama mengalahkan Umno-BN agar bersatu hati memberikan kemenangan kepada calon Warisan kawasan itu, Maklin Masiau.

Zinin berkata adalah penting untuk menyatukan kekuatan mencapai kemenangan bersama melalui Warisan dengan memberikan sokongan dan undi kepada Maklin, calon yang telah diputuskan pucuk pimpinan Warisan untuk bertanding di kawasan DUN Pitas.

“Kita jangan lagi menoleh ke belakang, kita harus memandang ke hadapan untuk memberikan undi kepada Maklin kerana kemenangan parti amat penting untuk mencapai matlamat perjuangan menstrukturkan semula pentadbiran Negeri Sabah agar keadaan dapat diperbaiki menjadi kerajaan yang berorientasikan kepentingan rakyat,” kata Zinin yang juga Ketua Penyelaras Warisan Pitas.

Zinin yang juga Naib Ketua Bahagian Warisan Kudat berkata demikian sebagai mengulas luahan perasaan segelintir pengundi peringkat akar umbi yang tidak menjangkakan pencalonan Maklin.

Menurut Zinin, selaku pemimpin yang pernah bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu, Maklin mempunyai pendukung tersendiri dan adalah penting untuk semua penggerak Warisan di Pitas, para penyokong, rakan-rakan dan saudara-mara untuk menggabungkan kekuatan bersama memberikan undi kepada Maklin.

ZININ: Pengarah Jentera Pilihan Raya Warisan DUN Pitas

Zinin menjelaskan pihaknya menerima pencalonan Maklin dengan hati terbuka dan penerimaan itu ditunjukkan dengan menggerakkan seluruh kekuatan jentera pilihan raya Warisan DUN Pitas untuk memberikan kemenangan kepada calon.

Maklin, mantan guru graduan, meletakkan jawatan pada PRU13 untuk bertanding atas tiket STAR dan meraih undi lebih 3,000, menjadikan jumlah itu antara perolehan undi terbanyak calon-calon parti berkenaan.

Awal tahun ini, Maklin bersama para penyokongnya menyertai Warisan dengan menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Pencalonan Maklin atas tiket Warisan PRU14 ini dicadangkan oleh Abd. Lakah Monyok dan disokong oleh Raymond Maguntad. Maklin kemudian melantik Sabran Amang sebagai wakil calon dan Zinin sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya.



No comments:

Post a Comment