DR OSWALD IGAU |
KOTA KINABALU: Portal SabahKini2 memfitnah dan berniat jahat menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah apabila menyiarkan berita mengaitkan pemimpin kanan negeri dengan Peguam Michael P Ubu sebagai berada dalam urusan polis dan SPRM.
Penyelidik Ekonomi dan Politik Dr Oswald Aisat Igau berkata siaran portal itu sengaja mengungkit semula kes Michael berkaitan urusniaga tanah ladang kelapa sawit di Tongod dengan Risda yang berlaku pada tahun 2014.
“Sedangkan urusan berkenaan sudah selesai apabila peguam tersebut yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusniaga itu menyelesaikan transaksi yang diperlukan,” kata Oswald merujuk siaran portal itu 3 Jun 2020
Ketika diminta memberikan pandangan, Oswald difahamkan urusan tanah berkaitan Risda itu dikendalikan melalui firma guaman peguam tersebut dan tidak melibatkan mana-mana pihak seperti yang dilaporkan.
Dalam kes Ubu, difahamkan beliau dituntut oleh agensi kerajaan berkenaan untuk melunaskan sejumlah bayaran di mana bayaran berkenaan telah dijelaskan bersama bunga.
Berdasarkan kronologi tersebut, kata Oswald maka dakwaan portal yang menyatakan Ubu akan ditangkap dan dibawa ke Kula Lumpur oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kurang tepat dan tidak berasas.
“Tambahan pula kes tersebut berlaku di Sabah dan sekiranya perlu, perbicaraan harus dilaksanakan di negeri ini dan tidak perlu dipindahkan ke Kuala Lumpur,” kata Oswald yang juga mantan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Oswald menjelaskan, rakyat faham pihak SPRM menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan tidak bertindak melulu seperti yang dilaporkan oleh portal tersebut.
Kata Oswald lagi, dalam kes terdahulu yang melibatkan ratusan juta ringgit di jabatan air, pihak SPRM dilihat tidak membuat dakwaan melulu dan bertindak dengan penuh integriti.
Sementara Michael P. Ubu, katanya telah kembali ke tanah air secara sah melalui pintu imigresen selepas menjalani rawatan kesihatan di luar negara dan bukannya ditangkap seperti dakwaan portal berkenaan.