Unduk Ngadau 2020 berlandaskan teknologi media sosial lebih jimat, tidak menjejas PKP
KOTA KINABALU: Penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan 2020 yang dirancang diadakan secara atas talian tidak menjejaskan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping lebih menjimatkan.
JOANNA |
Pengerusi Penganjur Bersama Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2020 Puan Joanna Kitingan berkata pihaknya menyokong saranan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony untuk meneruskan program berkenaan tahun ini dengan bantuan kecanggihan teknologi dan media sosial.
“Kita melihat banyak program Kaamatan sedang berlangsung secara atas talian dan kami memikirkan Unduk Ngadau juga boleh diadakan secara atas talian,” kata Joanna.
Menurut Joanna penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini menampilkan suasana ‘new normal’ di mana para peserta dan penonton dihubungkan secara maya dan tidak melibatkan perhimpunan orang ramai.
Lagipun jelas Joanna, penganjuran Unduk Ngadau Kaamatan dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di bawah pengarah jabatan itu Datuk Dr. Christina Rundi untuk memberi panduan tentang Prosedur Operasional Standard (SOP).
Joanna menjelaskan, Unduk Ngadau tampil di atas pentas tanpa penonton dalam dewan manakala orang ramai yang menyukai program itu boleh menyaksikannya di rumah masing-masing secara langsung melalui siaran media sosial.
Joanna menegaskan, tiada isu mengapa Unduk Ngadau Kaamatan 2020 tidak boleh diteruskan kerana program ini bakal menjadi sebahagian pengisian bagi menghidupkan suasana Kaamatan.
“Orang ramai boleh terus merasai suasana Kaamatan dan menyaksikan program ini sebagai pengisian hiburan sekeluarga ekoran tidak banyak aktiviti yang mereka dapat ikuti sepanjang PKP,” katanya.
Joanna melihat suasana PKP yang membataskan pergerakan semua orang memiliki kaitan langsung dengan Legenda Huminodun yang menjadi asas kepada penganjuran Unduk Ngadau.
Legenda Huminodun berkaitan dengan pengorbanan memberi kehidupan kepada bangsa yang terancam maut kerana kekurangan makanan di samping memerlukan panduan hidup.
“Demikian juga dengan COVID-19 ketika ini yang mengancam keselamatan hidup semua orang di mana penampilan Huminodun boleh menyampaikan mesej untuk berkorban mematuhi segala peraturan yang diputuskan kerajaan,” katanya.
Berkaitan jumlah hadiah yang dipersoalkan netizen, Joanna melihat penganjuran Unduk Ngadau tahun ini jauh lebih menjimatkan kerana tidak melibatkan pelbagai majlis, logistik, perjalanan rombongan dan program amal para peserta.
Joanna mengajak orang ramai memberi ruang kepada Kerajaan Negeri memperlihatkan kaedah penganjuran Unduk Ngadau dalam suasana ‘new normal’ dengan mengekalkan keharmonian tanpa kebimbangan yang tidak munasabah.
No comments:
Post a Comment