PETER |
KOTA KINABALU: Program Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan tahun ini ditunda ke satu tarikh baharu untuk memberi masa yang mencukupi kepada para peserta membuat persiapan menyertai pertandingan dalam suasana kelaziman baharu.
“Rata-rata para peserta meminta tempoh dilanjutkan untuk mereka lebih bersedia mempersiapkan keperluan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat.
Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur memaklumkan pihaknya turut menerima cadangan agar sidang juri professional dilantik untuk mengadili persembahan para peserta kecuali untuk kategori Miss Popular yang akan diadili secara undian atas talian.
Menurut Peter yang juga Presiden KDM Malaysia, dalam mesyuarat yang turut dihadiri Joanna Kitingan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Unduk Ngadau, sidang mesyuarat bersetuju menunda program berkenaan ke satu tarikh yang akan diumumkan.
Kata Peter, keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pendapat orang ramai dan menjaga sensitiviti masyarakat KDMR.
“Kami faham dan maklum bahawa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) masih berkuat kuasa maka mesyuarat khas akan diadakan untuk menyusun SOP (Prosedur Operasional Standard) pelaksanaan program sebelum satu tarikh baharu diumumkan,” katanya.
Peter menjelaskan pihaknya dimaklumkan sudah ramai peserta yang bersedia mengikuti pertandingan tersebut.
Berkaitan komen dan kecaman ahli politik Johnny Mositun, Peter menyarankan Johnny agar tidak meroyan seperti babun terkena belacan sebelum mengetahui tujuan murni penganjuran program berkenaan.
Sebagai salah seorang pemimpin KDMR, kata Peter, kita semua mahu mempertahankan budaya keturunan kita.
“Dunia semakin maju, orang KDMR juga mahu maju dan bukan mahu ketinggalan zaman macam si Johnny,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya kita bersatu dalam KDMR.
Peter kesal kerana para pemimpin KDMR saling berbalah untuk mempertahankan budaya warisan masyarakat sendiri, namun pemimpin seperti Jeffrey Kitingan sanggup bekerjasama dengan Pas dan Umno untuk kelangsungan politik kangkungnya.
Peter menegaskan jawatankuasa penganjur yang dibentuk kesemuanya dari suku kaum KDMR yang berpengalaman lagi profesional dan sudah tentu penjagaan keselamatan dan SOP Kerajaan dalam penganjuran program diutamakan.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas sokongan semua pihak, Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan,” ucapnya.