Saturday, 28 April 2018

PRU14 Labuan: Umno sedang terancam oleh Warisan


 Noor Halim, calon Warisan Labuan miliki kekuatan seimbang dengan Rozman


28 April 2018
PENYANDANG kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli berhadapan cabaran getir dari calon Parti Warisan Sabah, Noor Halim Haji Zaini untuk mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.

Noor Halim diiringi Warisan dan PKR ke penamaan calon di Kolej Matrikulasi Labuan
Ini kerana Noor Halim yang menjadi calon Warisan memiliki kriteria yang serupa dengan Rozman bila dilihat dari segi latar belakang keluarga, akademik, pengalaman bekerja dan pengaruh parti masing-masing.

Rozman merupakan anak bekas senator yang mewakili Labuan, Datuk Haji Isli bin Haji Siput manakala Noor Halim merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dilantik, Datuk Haji Zaini Haji Isa.

Dari segi kelulusan akademik, Rozman merupakan lulusan bidang pengurusan perniagaan dari Amerika dan Manila, manakala Noor Halim adalah lulusan bidang zeologi-sains bumi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Noor Halim bersama pencadang, Jais Siol dan Julius Elias (kiri)
Dalam aspek pengalaman bekerja, Rozman pernah menjadi pengarah urusan pelbagai syarikat antarabangsa manakala Noor Halim yang memulakan kerjaya dengan Shell Sarawak melanjutkan profesion dengan bekerja di pelbagai syarikat multinasional di pelbagai negara seperti Arab Saudi, Qatar, Texas, Brunei dan Filipina.

BN yang mencalonkan Rozman didukung oleh pelbagai parti gabungan BN di Labuan terdiri daripada Umno, PBS, Upko, MCA dan Gerakan. Manakala Warisan yang mencalonkan Noor Halim turut didukung jentera PKR dan DAP.

Tan Sri Ibrahim Menudin ketika melancarkan kempen Warisan Labuan.
Turut kelihatan, Ketua PKR Cabang Labuan, Simsudin (Kanan)
Kawasan Parlimen Labuan menyaksikan pertandingan empat penjuru untuk merebut kerusi dalam Wilayah Persekutuan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Raisin Saidin ketika membuat pengumuman memaklumkan bahawa calon-calon itu terdiri daripada penyandang, Datuk Rozman Isli dari BN-Umno yang akan berhadapan tiga calon lain dari Harapan Rakyat (HR), Pas dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Calon Harapan Rakyat ialah Siti Zaleha Ibrahim, Ustaz Ahmad Junid Aling (Pas) dan Noor Halim Haji Zaini (Warisan),” kata Raisin yang juga Pengarah Pendidikan Labuan ketika membuat pengumuman di pusat penamaan calon, Dewan Kolej Matrikulasi Labuan.

Selepas pengumuman calon, utusan ibu pejabat Warisan, Tan Sri Ibrahim Menudin mengetuai satu perjumpaan di pusat operasi Warisan di Patau-Patau, kira-kira dua kilometer dari pusat bandar.

Sebahagian penggerak PDM Warisan Labuan
Turut bersama Noor Halim ialah Ketua Penyelaras Warisan Labuan, Salim Haji Abdul Rahman, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Simsudin Sidek, jawatankuasa induk Warisan Labuan, ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan beberapa penggerak parti DAP.

Pencalonan Noor Halim dicadangkan oleh penyelaras gerakan PDM Warisan Labuan, Jais Siol dan disokong oleh ketua penerangan Warisan Labuan, Julius Elias.
Salim Abdul Rahman, Ketua Penyelaras Warisan Labuan menyampaikan ucapan
Bilangan pengundi berdaftar di Labuan yang layak mengundi PRU14 ini ialah 28,356 berbanding 24,474 pada PRU13.

Kerusi Parlimen Labuan pada PR13 dimenangai Datuk Rozman Isli dengan jumlah undi 12,694 mengalahkan Tan Sri Ibrahim Menudin (PKR) yang memperoleh 6,069 undi dan Hadnan Mohamad (Pas) 386 undi.

Noor Halim menyampaikan ucapan sulung dalam kempen PRU14 Parlimen Labuan
Calon-calon Parlimen Labuan, dari kiri Junid, Noor Halim, Rozman dan Zaleha




No comments:

Post a Comment